Kali ini aku meletakkan diri
dalam orang derita
menangisi keperitan sengsara
meratapi sukma tertikam duri nestapa
membahang minda dengan api dukalara.
Dari dalam diri orang derita
aku ingin melihat citra manusia
yang datang sekadar bertanya
memandang sekilas Cuma
yang duduk mendengar cerita
yang tunduk menggubah ritma durja.
Aku, kini orang derita
tidak pernah ingin menagih simpati
sekadar ingin diri dimengerti
aku tidak pernah akan meminta
secebis rasa, sedetik masa
kerana mereka tidak mengubah apa-apa
tidak mungkin melunasi sengsara
tidak juga mengikis kerikil nestapa
kerana semuanya telah tertulis di sana
aku ini orang derita.
Aku, orang derita
tetap bersyukur masih tersisa nyawa
terjaga aku masih diseru nama
aku pasrah menerima segalanya
dan semangatku masih berdiri
mampu bergerak bersama denyut nadi.
Aku, orang derita
Tuhan pasti ada hikmah-Nya
mengirimi petanda pada kita
biar diri menanggung selama
iman tetap utuh di dada.
Aku, orang derita
haruskan aku terus terpana
oleh beban yang menimpa jemala
sedangkan aku masih mahu mencuba
melepasi segalanya
mensyukuri seadanya
mentafsir semua derita
sepanjang usia.
Aku, orang derita.
Ghazali Lateh
30 Januari 2009.

Tuan,
kenapa tiba-tiba mengarap puisi yang amat jauh hati dan terasa syahdu? Ada sesuatu yang menruntun kalbu ke?
Salam.
Syahdunya puisi bapak ini. Apapun, ketika ramai yang ‘menderita’, orang politik masih tak habis-habis memikir nak berkuasa.
Sekadar renungan ketika syahdu.