Feeds:
Posts
Comments

Yang terhenti

Sudah lama saya tidak memasukkan entri dalam laman ini.  Saya lebih menumpukan perhatian pada blog saya. Saya juga agak sibuk dengan tugas harian sehingga mengehadkan masa saya untuk memasukkan entri. saya akan cuba untuk menghidupkan kembali laman ini.

Buat sementara waktu, blog saya hanya dapat diakses menggunakan Mozilla dan Netscape. Kerosakan ini akan diatasi tidak lama lagi.

Secalit Sinar

Dalam gelita yang merayap di dada hidup
barangkali ada secalit sinar
di hujung ufuk

temaram kelam
hanyalah warna
yang tercoret
dengan kehendak-Nya.

Orang Derita

Kali ini aku meletakkan diri

dalam orang derita

menangisi keperitan sengsara

meratapi sukma tertikam duri nestapa

membahang minda dengan api dukalara.


Dari dalam diri orang derita

aku ingin melihat citra manusia

yang datang sekadar bertanya

memandang sekilas Cuma

yang duduk mendengar cerita

yang tunduk menggubah ritma durja.


Aku, kini orang derita

tidak pernah ingin menagih simpati

sekadar ingin diri dimengerti

aku tidak pernah akan meminta

secebis rasa, sedetik masa

kerana mereka tidak mengubah apa-apa

tidak mungkin melunasi sengsara

tidak juga mengikis kerikil nestapa

kerana semuanya telah tertulis di sana

aku ini orang derita.


Aku, orang derita

tetap bersyukur masih tersisa nyawa

terjaga aku masih diseru nama

aku pasrah menerima segalanya

dan semangatku masih berdiri

mampu bergerak bersama denyut nadi.


Aku, orang derita

Tuhan pasti ada hikmah-Nya

mengirimi petanda pada kita

biar diri menanggung selama

iman tetap utuh di dada.


Aku, orang derita

haruskan aku terus terpana

oleh beban yang menimpa jemala

sedangkan aku masih mahu mencuba

melepasi segalanya

mensyukuri seadanya

mentafsir semua derita

sepanjang usia.

Aku, orang derita.

Ghazali Lateh

30 Januari 2009.

Menternak Pelangi

Waktu yang berlalu kadang-kadang seperti tidak terasa. Pantas dan senyap. Tahu-tahu, diri terasa sudah semakin dimamah usia. Kadang-kadang terasa ingin bertanya pada diri sendiri, apakah lagi yang dikejarkan dalam hidup ini. Tidak cukupkah kurniaan Ilahi dengan segala kenikmatan dan kemewahan yang dimiliki. Apabila persoalan-persoalan itu menerpa, diri terasa terlalu ingin meninggalkan segala unsur keduniaan, dan hanya mengabdikan diri.

Namun, adakah harus ditinggalkan segala macam rencah kehidupan ini, sedangkan belum banyak bakti yang ditaburkan. Begitulah kehidupan ini, kadang-kadang terasa terlalu ingin menyendiri, tetapi pada yang sama, terlalu pula berasa ingin menabur bakti. Kehidupan ini kini dirasakan tidak ubah seperti Menternak Pelangi.

Bertahun-tahun sudah kiranya,
kau penuhkan kandang usiamu,
dengan pelangi terpilih,
lalu kau tambatkan pada tumang hasrat,
membesar dan memekar.

Saban tahun juga,
kau lepaskan pelangi itu,
ketika pagar-pagar gerigis,
mengepung kandang usia lesu,
semakin lapuk,
dimamah kecewa.

Di ufuk kirmizi,
kau tanduskan sebuah padang terbentang,
menghijau dan saujana,
kerana di situlah,
pelangimu sirna.

Dalam kerandut usia yang lentur,
kau masih mengharapkan,
telur-telur peliharaan,
akan menetas,
setiap bermulanya tahun baharu,
dan kau masih di situ,
mengulet pelangimu,
sehingga terkedu,
ditinggalkan waktu..

Ghazali Lateh
Banting,
27 November 2004

Sejak dua tiga hari yang lalu, kesihatan diri agak terganggu. Barangkali oleh sebab terlalu penat dengan urusan kerja dan aktiviti di rumah. Hari ini sengaja mengajak isteri dan anak-anak pergi makan-makan di Bagan Lalang. Sempat juga menjalani rawatan refleksologi di pantai tersebut.

Warong tempat kami makan betul-betul terletak di tepi pantai. Makanan agak sederhana. Begitu juga harganya. Akan tetapi, apabila melihat harga sepiring sayur campur berharga RM10.50, itu sangat keterlaluan. Kebersihan warong perlu dipertingkatkan. Beginilah kebiasaannya peniaga makanan kita yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan aspek kebersihan dan perkhidmatan yang dapat menarik minat pelanggan jangka panjang.

Suasana di Bagan Lalang agak sesak. Tambahan pula terdapat ekspo kecil yang diadakan di jalan tepi pantai. Kawasan berkelah juga semakin terhad apabila sebahagian besar kawasannya telah dijadikan kawasan eksklusif dengan terbinanya Sepang Gold Coast, sebuah kawasan pelancongan mewah seperti marina palma di Dubai. Aku terfikir, berapa keratkah rakyat tempatan yang mampu ke situ apabila siap nanti…

Hari ini negara kehilangan seorang lagi Sasterawan besar Pak Arenawati. Pagi-pagi Tn Hj Shamsudin Othman menghantar sms tentang berita sedih itu. Saya terkedu sejenak kerana minggu lepas sahabat sastera saya Sazalee Yaacob telah kembali ke rahmatallah. Saya tidak mengenali Pak Arenawati secara peribadi, tetapi saya membaca karya arwah ketika saya obses dengan sastera, terutama ketika pengajian sarjana. Ketika itu kesusateraan Melayu merupakan major yang saya pilih, di bawah penyeliaan seorang lagi sasterawan besar arwah Pak Dharmawijaya.

Sazalee Yaacob pula memang saya kenali secara peribadi ketika arwah tinggal di Sijangkang. Kebetulan arwah seorang tulang belakang Kemudi ketika itu. Lebih akrab lagi, saya pernah menjempat arwah untuk mendidik anak didik saya mendeklamasikan sajak untuk sayembara deklamasi sajak Hari Kebangsaan 1996. Ketika itu anak didik saya Intan Norsaina telah berjaya mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan dalam usia seawal 16 tahun. Arwah Sazalee Yaacob merupakan pakar rujuk saya ketika itu. Hasilnya, Intan Norsaina kini menempah nama dalam dunia penyiaran dan lakonan masa ini.

Natijahnya, akhir-akhir ini perkembangan dunia sastera kita agak suram, dan disuramkan lagi dengan pemergian mereka yang sudah lama begitu akrab dengan dunia sastera. Harapan kita dunia sastera Melayu akan lebih bersinar kini dengan barisan muda yang kreatif, prolifik, dan bertanggungjawab memartabatkan sastera tanah air, bukan yang sering bertelagah antara satu sama lain.